Batang Kali, 21 Jun 2025 – Sebuah program santai tetapi penuh makna telah berjaya dianjurkan oleh Kelab Wardah USIM di bawah kendalian AJK Kerohanian, menerusi pengisian khas Meet & Greet Bonda Rozita Ibrahim bertempat di Dataran Rimbarista, Rumah Hutan Terapi Alam, Batang Kali. Seramai 35 orang ahli Kelab Wardah telah berpeluang menyertai program ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kelab Wardah, YBhg. Prof. Madya Datin Dr. Aza Sherin binti Mohamad Yusuff.

Acara ini turut menampilkan forum istimewa bertajuk “Forensik Keluarga: Bila Cinta Jadi Racun”, yang mengupas secara terbuka isu ketidakseimbangan emosi dan cabaran dalam hubungan kekeluargaan. Panel jemputan berkongsi nasihat, pengalaman dan panduan yang menyentuh hati, membuka ruang muhasabah buat para wanita dalam memperkukuh institusi keluarga.

Sepanjang perjalanan ke lokasi, peserta turut menikmati sesi tazkirah dan bacaan Surah Al-Ma’thurat yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Noornajihan Ja’afar, AJK Kerohanian Kelab Wardah. Suasana penuh tadabbur ini memberikan ketenangan dan refleksi diri menambahkan lagi elemen rohani sebelum peserta dibawa menyelusuri keindahan alam semula jadi Rumah Hutan.

Program ini turut diserikan dengan sesi bergambar bersama Bonda Rozita Ibrahim, di samping peluang bersantai, membeli-belah produk Jamu Ratu Malaya (JRM) dan menghayati keindahan alam sekitar Rumah Hutan Terapi Alam yang damai dan menyegarkan. Gabungan aktiviti santai dan bermanfaat ini benar-benar meninggalkan kesan positif kepada semua yang hadir.

Seiring dengan tema pengisian rohani, program ini amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:”Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja mempertemukan para peserta dengan tokoh wanita inspirasi, malah memperkaya jiwa dan minda melalui pengisian ilmiah dan rohani. Semangat ukhuwah yang terjalin sepanjang program menjadikannya satu kenangan manis yang terpahat dalam ingatan semua yang hadir.

Penulis :
Faridah Ibrahim
AJK Kerohanian

#kelabwardahusim
#rumahhutan
#bondarozitaibrahim
#usim25tahun